Salah satu bidang ‘imu yang sangat dominan dipelajari di
pondok-pondok di Fathoni ialah Usuluddin. Bersama-sama dengan Fiqh,
Tasawwuf dan Bahasa ‘Arab, ‘ilmu ini bukan sahaja menjadi antara mata
pelajaran wajib di pondok-pondok di Fathoni, malah termasuk yang sangat
penting dan utama. Kerananya, maka tidak hairan, jika ramai ‘ulama
Fathoni dan para santrinya sangat getul mempelajari ‘imu ini dan malah
menjadi juara atau jaguh dalam bidangnya. Antara tokoh ‘ulama Fathoni
yang dikenal sangat ahli dalam bidang ini ialah Syeik Daud bin ‘Abdullah
al-Fathoni, Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain bin Wan Mustapha
al-Fathoni, Pak da ‘Eil Fathoni atau Syeikh Wan Isma’il bin Wan ‘Abdul
Qadir al-Fathoni, Haji Ahmad bin ‘Abdul Wahab al-Fusani dan lain-lain.
Termasuk dalam senarai yang sama juga ialah seorang ‘ulama mutakhir
Fathoni bernama Haji ‘Abdul Qadir bin Wangah yang banyak menulis
kitab-kitab Usuluddin jawi pada penghujung abad ke 20 ini. Kita ikuti
tarajim ‘Ulama yang aqrab disapa dengan panggilan Haji Dir Sekam atau –
dikalangan yang lebih muda – ayah Dir Sekam ini.
Biodata Sheikh Abd al-Qadir Hj Wangah
Nama lengkap Haji Dir sepeti yang tertulis pada kitab-kitab
karangannya ialah Haji Abd al-Qadir bin Haji Wangah bin Abd al-Latif
bin Othman. Beliau dilahirkan di kampung Sekam, Palas, Patani pada tahun
1937.
Pendidikan awal beliau bermula di pondok Balur tidak jauh dari
kampung kelahirannya. Beliau belajar dengan seorang ulama bernama Haji
Ahmad bin Muhammad Darawi yang lebih dikenali dengan panggilan Tok
Balur. Rakan-rakannya yang sama-sama belajar bersama beliau di sana
ialah Haji Wan Nuh bin Wan Nawang Kelaba, Haji Mat Kubang Saman dan Haji
Awang Qari Pengkalan Jong.
Selepas 4 tahun beliau belajar di sana, beliau telah berpindah dan
belajar kepada Haji Ahmad Kubang Pasir, Binjai Lima. Namun selepas 2
tahun, gurunya itu telah meninggal dunia. Selepas kematian gurunya itu,
beliau telah menyambung pengajiannya di pondok Perigi. Di sana beliau
telah berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Abd al-Wahhab al-Fusani
iaitu seorang tokoh ulama terkenal dalam bidang usuluddin, qiraat dan
ilmu falak di Patani ketika itu.
Pada tahun 1949, beliau telah menyambung pengajiannya di Kelantan
dengan berguru dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Bunut Payong yang
merupakan seorang tokoh ulama terkenal dalam bidang Fiqh Syafie disana.
Ketika berada di Kelantan, Ayah Dir tidak hanya belajar di Bunut
Payong sahaja, tetapi beliau juga belajar dengan ulama-ulama lain
seperti Haji Muhammad Nur Ibrahim Penambang (merupakan Mufti Negeri
Kelantan) dan Haji Ali Solahuddin Pulau Pisang di Masjid Muhammadi di
bandar Kota Bharu.
Menuntut di Mekah
Ketika beliau menuntut di Kelantan beliau telah bertemu jodoh dengan
seorang gadis Kampung Putih, Kota Bharu serta mendapat seorang anak
lelaki yang diberi nama Ahmad Azam.
Tidak berapa lama selepas mendapat seorang anak, Ayah Dir telah
bercerai dengan isterinya lalu beliau kembali ke Fatani dan berkahwin
kali ke-2 dengan Zainab binti Haji Abdullah Mayor. Pada tahun 1951 iaitu
pada musim haji, beliau telah berangkat bersama isterinya ke Mekah
untuk menyambung pelajarannya di sana.
Ayah Dir telah belajar selama 5 tahun di Mekah. Disana beliau telah
berguru dengan ramai ulama di sana. Di antara mereka itu adalah Sheikh
Wan Ismail bin Wan Abd al-Qadir al-Fatani (lebih dikenali dengan Pak Da
Eil) yang telah membimbing beliau mahir di dalam bidang usuluddin dan
ilmu alat (ilmu memahami bahasa arab seperti nahu soraf, balaghah dan
mantiq). Di sana beliau lebih banyak berguru secara khusus atau dalam
kumpulan kecil berbanding dalam halaqah yang besar.
Semasa di Makkah, beliau adalah seangkatan dengan tokoh-tokoh seperti
Baba Wan Noh Kelaba, Haji Mat Kubang Saman, Haji Hussain Thusa, Pan
Ndak ‘Eil Bendang Padang, Haji Hussain Kerasak, Haji Pak Chu Leh Bendang
Jelapang, Haji Ramli Tandung, Haji Zakaria Becah, Haji Ismail Charik,
Haji Ahmad Bendang Raya (Guru Pondok Pohon Sengkuang) dan lain-lain.
Selepas menuntut di Mekah, beliau telah pulang ke tanah air
bersama-sama isterinya dan dua orang cahaya mata bernama Hafsah dan
Ismail.
Sumbangan Ayah Dir Sekam
Sumbangan Ayah Dir Sekam sangat banyak. Ia boleh dibahagikan kepada
dua iaitu sumbangan beliau dalam bentuk dakwah dan sumbangan beliau
dalam bentuk karya-karya penulisan.
Sumbangan dalam bentuk dakwah
Sekembali Ayah Dir Sekam ke Fatani, beliau telah membuka pusat
pengajian pondok yang diberi nama al-Ma`had al-Islami bertempat di
kampung Waqaf Budi atau nama lainnya Selabudi, daerah Sekam, pekan Palas
di Fatani.
Kerana keahliannya dalam bidang usuluddin, tidak hairanlah beliau
lebih menumpukan dakwahnya dalam bidang tersebut. Menurut murid yang
juga menantunya Tuan Guru Ghazali Ahmad, beliau mengajar kedua-dua kitab
iaitu kitab jawi dan kitab arab.
Kitab usuluddin jawi, beliau selalu menggunakan:
- Kitab Faridah al-Faraid Fi Ilmi al-`Aqaid karangan Sheikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zain al-Fatani.
- Kitab Bakurah al-Amani li Irsyad `Awam Ahl al-Fatani karangan Ismail bin Abd al-Qadir al-Fatani.
- Kitab Siraj al-Huda pada menyatakan Akidah Ahl al-Taqwa karangan Sheikh Muhammad Zain al-Din bin Muhammad Badwi al-Sambawi.
- Kitab Akidah al-Najin fi Ilmi Usul al-Din karangan Sheikh Zain al-`Abidin bin Muhammad al-Fatani dan lain-lain.
Kitab usuluddian arab pula, beliau menggunakan:
- Kitab Baijuri Syarah Matan al-Sanusi
- Kitab Dusuki
- Kitab Kifayatul `Awam
- Matan Jauharah al-Tauhid
- Syarqawi `ala al-Hudhudi
- Fath al-Majid dan lain-lain
Selain daripada usuluddin beliau mengajar kitab Fiqh daripada kitab
kecil seperti Fath al-Qarib syarah Matan Ghayah Wa al-Taqrib hinggalah
kepada kitab yang besar seperti Fath al-Wahhab, al-Iqna dan Mahalli. Di
samping itu beliau juga mengajar tafsir menggunakan kitab tafsir
Al-Jalalain kemudian kitab Hasyiah Sowi `Ala Tafsir al-Jalalain sehingga
yang paling tinggi adalah kitab al-Futuhat al-Ilahiah bi Taudhih Tafsir
al-Jalalain li al-Daqaiq al-Khafiyyah (juga dikenali dengan Hasyiah
Jamal).
Antara murid-murid yang telah dilahirkan di bawah didikannya adalah:
- Tuan Guru `Abdul Rahman Pauh Manis, Rakak. (Pengarang Kitab Khulasoh at-Tauhid)
- Tuan Guru Haji Husin Bendang Pedur
- Tuan Guru Haji Ismail Sepanjang
- Tuan Guru Abdul Wahhab Chenak
- Tuan Guru Haji Ahmad Amanu
- Baba Ismail Kok Tat, Chenak
- Tuan Guru Haji Nujum, Chenak.
- Tuan Guru Abdullah kok Sumut, Narathiwat.
- Tuan Guru Abdurrahman Mat Rusa
- Tuan Guru Abdul Aziz Ismail (lebih dikenali dengan Baba Aziz) . Beliau merupakan menantu Ayah Dir.- Pengarang Kitab Misbah al-Munir
- Tuan Guru Haji Husin Ijok ( menantu Ayah Dir)
- Tuan Guru Haji Abdullah Merjum, Ijok.
- Baba Ismail Kampung Petai, Jaha.
- Baba Ghazali Ahmad. ( menantu Ayah Dir dan penggantinya sebagai mudir di pondoknya sekarang)
- Ustaz Hamzah, Pondok Tahfiz.
- Tuan Guru Haji Ismail Chemuan, Belukar Samak.
- Tuan Guru Haji Mat Pinis.
- Tuan Guru Haji Yusuf Kok Tal (mengasaskan pondok di kampung Tok Diang)
- Baba Muhammad Beruas (Digelar sebagai Anak Harimau Ayah Der Sekam)
Selain mengajar di pondoknya, Ayah Dir juga mengajar masyarakat awam
di masjid-masjid, surau-surau dan balai raya sekitar tempat tinggalnya.
Antaranya adalah masjid Jami` Bandar Fatani pada setiap hari jumaat.
Beliau menggunakan kitab-kitab pondok seperti Faridah al-Faraid Fi Ilm
al-`Aqaid, Bakurat al-Amani dan Siraj al-Huda di dalam bidang akidah.
Manakala di dalam bidang fiqh pula beliau menggunakan kitab Kifayah
al-Muhtadi, Maniyyat al-Musolli dan Matla` al-Badrin.
Sumbangan dalam bentuk karya penulisan
Ayah Dir adalah seorang pakar didalam bidang akidah Ahli Sunnah wa
al-Jama`ah. Kepakaran beliau itu bukan hanya digunakan untuk mengajar
kitab-kitab akidah yang telah ada pada zamannnya tetapi beliau juga
telah mengarang kitab-kitab yang banyak dalam bidang terbabit.
Kitab-kitabnya itu telah banyak diterbitkan di Fatani dan banyak
digunakan di pondok-pondok di Fatani dan Malaysia sehingga kini.
Antara kitabnya yang tersebut itu adalah:
Mabda al-Fikrah Fi al-Maqulat al-`Asyarah. Risalah ini telah
dikarang oleh beliau ketika menuntut di mekah pada 13 rabi`ul akhir 1374
hijrah bersamaan dengan 7 disember 1954 masihi. Risalah ini membahaskan
mengenai ilmu mantiq yang berkaitan dengan akidah yang. Risalah ini
telah dicetak dan dimasukkan di bahagian belakang kitab Mabhas al-Kalam
Fi Ilm al-Kalam.
Mabhas al-Kalam Fi Ilm al-Kalam. Kitab ini telah siap dikarang oleh
beliau pada 10 jamadil akhir 1374 hijrah bersamaan 1 februari 1955
masihi ketika beliau menuntut di Mekah. Kitab ini membincangkan mengenai
ilmu akidah khusus berkaitan penerangan sifat-sifat ma`ani seperti
sifat kalam, qudrat dan lain-lain.
Asas al-I`tiqad Li Dhu`afa al-Bilad. Kitab ini telah selesai
dikarang oleh beliau pada 14 syawal 1376 hijrah bersamaan 12 mei 1957
masihi semasa di Fatani selepas beliau pulang dari Mekah. Ini adalah
sebuah kitab kecil setebal 24 halaman yang membincangkan mengenai
asas-asas i`tikad yang wajib diketahui oleh setiap orang muslim yang
mukallaf. Ia merangkumi 41 sifat yang berkaitan dengan ketuhanan
(uluhiyyat) dan 9 sifat yang berkaitan dengan kerasulan (nubuwwat).
Cermin Suluhan Pada Menyatakan Hukum Sembelihan. Beliau telah
selesai mengarang kitab ini pada 8 syawal 1377 hijrah bersamaan dengan
26 april 1958 masihi di kampung Wakaf Budi, Sekam. Kitab setebal 20
halaman ini membincangkan tentang hukum haram makan binatang sembelihan
yang telah sampai kepada harakat mazbuh dengan yakin atau zhan atau syak
serta terpancar-pancar darah atau mengelupur selepas itu.
Taqrib al-Ikhwan Fi Ta`lim `Aqaid al-Iman. Telah siap dikarang oleh
beliau pada 3 zulhijjah 1378 hijrah bersamaan 8 jun 1959 masihi. Kitab
setebal 32 halaman ini membincangkan akidah islam merangkumi segala
sifat-sifat ketuhanan serta segala sifat-sifat rasul yang wajib
diketahui oleh setiap mukallaf. Ia juga menghuraikan sifat allah dengan
lebih mendalam dengan penerangan istilah nafsiah, salbiah, ma`ani dan
ma`nawiyyah. Kitab ini adalah antara kitab yang paling laris di pasaran
sehingga diulang cetak sebanyak 18 kali
Tashil al-Dhu`afa Waradda Ba`du Aqwal al-Sufaha. Kitab ini telah
siap dikarang pada akhir rejab tahun 1385 hijrah bersamaan November 1965
masihi. Kitab setebal 35 halaman ini membincangkan tentang i`tikad yang
perlu dipelajari oleh kanak-kanak yang baru hendak belajar ilmu agama
orang-orang tua yang baru kembali hendak belajar. Ia juga membincangkan
berkaitan rukun-rukun Islam dan rukun iman. Antara lain yang
dibincangkan di dalam kitab ini juga adalah berkaitan istilah dan
penerangan hukum aqal, hukum adat dan hukum syarak. Pada bahagian akhir
kitab ini beliau telah menasihatkan kepada masyarakat supaya jangan
mengambil sikap tidak peduli kepada hal-hal berkaitan agama dan perkara
akhirat.
Ta`lim al-Aulad Fi Zikr Ba`du Aqwal al-`Ibad. Kitab ini telah
selasai dikarang oleh beliau pada 3 muharram 1387 hijrah bersamaan 11
april 1967 masihi. Kitab setebal 26 halaman ini membincangkan tentang
hal-hal berkaitan hati yang perlu dijauhi serta beberapa pengajaran
untuk menggerakkan seseorang hamba kepada membanyakkan amal kepada
Allah. Di dalam kitab ini juga beliau menyeru supaya membanyakkan amal
ibadat untuk persediaan akhirat yang akan ditempuh oleh setiap orang
nanti. Beliau telah menyatakan pada awal kitab ini bahawa karangan
beliau ini banyak bersuberkan daripada kitab Daqaiq al-Akhbar.
Tabyin Kazb al-Muftari Fima Yata`allaqu Bi al-Bari. Kitab ini telah
siap dikarang oleh beliau pada akhir muharram 1388 hijrah bersamaan
dengan 26 april 1968 masihi. Kitab setebal 40 halaman ini dikarang oleh
beliau untuk menjawab dan menolak semula kitab yang telah dikarang oleh
seorang guru yang telah membuka sekolah berdekatan kampungnya.
Orang yang dimaksudkannya itu adalah haji Wan `Ali al-Jambuwi yang
telah mengarang kitab “ Matahari Pencerahan Pada Menghapuskan Keji
Tuduhan”. Kitab ini telah dikarang untuk menolak 3 kitab iaitu Asas
al-I`tiqad Li Dhu`afa al-Bilad, Taqrib al-Ikhwan Fi Ta`lim `Aqaid
al-Iman dan Tashil al-Dhu`afa Waradda Ba`du Aqwal al-Sufaha yang telah
dikarang oleh Ayah dir sebelum ini.
Didalam kitabnya ini, Ayah Dir telah menulis dan menjelaskan serta
menolak berkaitan kekarutan dan fitnah tentang ‘mustahil qadim dan baru’
serta fitnah orang yang jahil tentang hukum akal serta fitnah orang
yang tidak memahami tentang sifat kalam Allah.
Tazkirah Lizawi al-afkar Fima Yamur al-insan Min al-A`mar. Telah
selesai dikarang pada 14 rabi`ul akhir 1389 hijrah bersamaan 28 jun 1969
masihi. Kitab setebal 33 halaman ini membincangkan berkaitan turutan
proses yang akan dilalui oleh setiap insane bermula dari alam arwah,
dihantar ke duni sehinggalah sampai ke akhirat samaada kekal di syurga
atau kekal di neraka. Pada bahagian akhir kitab ini beliau meletakkan
nasihat kepada anak-anak muda supaya berbekal untuk akhirat serta
menjauhkan diri daripada hanya menjadi orang yang hanya berbekal untuk
dunia sahaja.
Wasail Ilm al-kalam Ra’fah Wa Rahmat Li al-`Awam. Kitab ini telah
siap dikarang oleh beliau pada 22 syawal 1392 hijrah bersamaan dengan 27
november 1972 masihi. Kitab setebal 23 halaman ini membincangkan dengan
lebih lanjut tentang hukum akal serta sedikit istilah-istilah ulama
usuluddin.
Risalah Manhaj ahl al-Sunnah. Risalah ini telah selesai ditulis pada
11 jamadil awal 1405 hijrah bersamaan dengan 1 februari 1985 masihi.
Risalah setebal 47 halaman ini membincangkan mengenai pentafsiran
ayat-ayat mutasyabihah yang terdapat didalam al-Quran. Ini adalah
sebagai reaksi beliau terhadap pengajaran usuluddin para ustaz-ustaz
muda lepasan timur tengah ketika itu amnya dan arab Saudi khususny. Ini
dapat diketahui melalui mukaddimahnya: Amma ba`du, maka berkata hamba,
adalah pada tahun hijrah 1404 bertalu-talu datang soalan daripada
saudaraku yang kasih kepada ugama bersabit dengan firmannya ta`ala “
arrahman `ala `arsyistawa” …apakah murad dan tujuan daripada ayat itu?.
Irsyad al-Jawiyyin Ila Sabil al-`Ulama al-`Aamilin. Kitab ini telah
selesai ditulis pada 18 zulkaedah 1409 hijrah bersamaan dengan 21 jun
1989 masihi. Kitab setebal 32 halaman ini membincangkan berkaitan
nasihat-nasihat kepada anak muda, kelebihan ilmu usuluddin, pesanan
supaya jangan terkeliru dengan pengikut-pengikut Muhammad bin Abdul
wahhab, mauled, masalah tawassul dan tabarruk, tentang pemahaman ulama
berkaitan ayat mutasyabihah, permasalahan ta`wil serta penerangan
berkaitan musyabbihah dan mujassimah.
Meninggal Dunia
Haji Der tutup usia pada hari Khamis, 18 Rabi’ul Awwal 1412 bersamaan
26 September 1991 selepas menderita serangan angin ahmar selama 12
tahun. Namun, meskipun dalam sakit dan dengan suara yang rosak dan
pecah-pecah, beliau tetap mengajar sehingga ke malam Jumaat terakhir
sebelum beliau wafat pada pagi hari Khamis berikutnya. Semoga Allah
merahmati dan meredhoi beliau.. Al-Fatihah..
Kesimpulan
Ayah Dir Sekam telah meninggalkan jasa yang besar dalam perkembangan
pengajaran akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah di tanah melayu. Usaha
beliau dalam menyemarakkan institusi pengajian pondok juga telah
diwarisi oleh murid-muridnya. Melalui sumbangan beliau dalam bidang
dakwah dan karya-karya penulisan, ramai ulama yang telah dihasilkan.
Antara yang paling msyhur sekarang adalah Tuan Guru Haji Ismail
Sepanjang yang lebih dikenali dengan Baba Eil Sepanjang yang sangat
aktif berdakwah kepada masyarakat di Fatani sehingga sekarang.
Karya-karya ayah dir sehingga kini masih digunakan di pondok-pondok di
Fatani dan Malaysia khususnya di Kelantan dan Kedah. Ayah Dir juga
merupakan seorang yang sangat lantang menentang fahaman yang lebih
dikenali dengan “al-Wahhabiyyah” semasa zamannya. Sesungguhnya
sumbangan Ayah Dir sehingga kini masih diingati dan digunakan sehingga
kini.
RUJUKAN:
Ahmad Fathi al-Fatani. Majalah Pengasuh. bil 619. Kelantan: Pustaka Aman Press dan sedikit tambahan daripada penulis --> http://addarain.com/babali/sheikh-abd-al-qadir-hj-wangah-ayah-dir-sekam-tokoh-ulama-usuluddin-dari-fathoni/