Anda Mungkin Juga Meminati :

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Sabtu, 20 Juni 2009

Al-Kisah Sibawaih (سيبويه)

Al-Kisah Sibawaih (سيبويه)

Nama lengkapnya Amar bin Qanbar Abu Bisyr, digelar dengan nama Sibawaih (180H/796). Dia kelahiran asli negara Persia, yaitu di kota Baidha. Kemudian ia bersama keluarganya hijrah ke kota Basrah, dan di sana ia tumbuh besar di dalam lingkungan ilmiah. Ilmu pengetahuan pertama yang dia pelajari adalah fekah dan hadis. Sibawaih mempelajari hadis daripada Hamad bin Sahnah. Pada suatu hari, Sibawaih menerima diktean hadis dari gurunya, Hamad yang berbunyi :
لَيْسَ مِنْ أَصْحَابِي إِلاَّ مَنْ لَوْ شِئْتَ لأَخَذْتُ عَلَيْهِ لَيْسَ أَبَا الدَّرْدَاءِ

Sibawaih langsung menegur gurunya sambil berkata : لَيْسَ أَبُوْ الدَّرْدَاءِ. dia menduga lafazh Abu Darda adalah isim laisa. Gurunya langsung menimpali ; “kamu salah wahai Sibawaih. Bukan itu yang kamu maksudkan, tetapi lafazh laisa di sina adalah istitsna!”. Maka Sibawaih langsung berkata: “Tentu aku akan mencari ilmu, di mana aku tidak akan salah membaca.” Akhirnya Sibawaih belajar ilmu nahwu kepada Khalil sampai menjadi ilmuwan terkenal.


Kisah ini mengisahkan, bahawa suatu ketika Sibawaih bersama jamaah lainnya sedang menulis suatu hadis Nabi, sementara gurunya, Hamad sedang mendiktekan hadis mengenai kisah Shafa: صَعَدَ رَسُوْلُ اللهِ الصَّفَا (Rasulullah turun di tanah Shafa). Sibawaih langsung menyanggahnya dan berkata الصَّفَاءَ. Maka gurunya berkata : “Wahai orang Persia, jangan katakan “Ash-Shafa’a”, kerana kalimah Ash-Shafa’a adalah isim maqshur”. Ketika pengajian selesai, Sibawaih langsung memecahkan penanya, sembari berkata: “Aku tidak akan menulis suatu ilmu pengetahuan samapai aku dapat mematangkan dahulu dalam bidang bahasa Arab.” Mungkin, hikmah di sebalik dua kejadian itulah yang membuat Sibawaih sangat serius mempelajari nahwu, dan akhirnya menjadi pakar ilmu nahwu yang terkenal.

Guru Sibawaih dalam bidang nahwu adalah Imam Khalil bin Ahmad al-Farahidi. Beliau adalah guru besar Sibawaih, sementara Khalil sendiri adalah murid Abu Amr bin al-A’Ala, seorang ahli qira’at saba’ah.

Sibawaih pernah berdebat dengan Imam Kisa’i, tokoh ulama Kufah. Pada saat itu Sibawaih hendak pergi ke Kota Baghdad pada masa Raja Harun Ar-Rasyid dan menteri Yahya bin Khalid al-Barmaki. Sibawaih meminta menteri Yahya agar dapat mempertemukan dia dengan al-Kisa’i. maka Yahya menasihatinya agar ia tidak melakukan itu. Namun Sibawaih berkeras ingin bertemu dan sekaligus mengajak berdebat terbuka. Acara pertemuan itu di adakan di rumah Harun Ar-Rasyid. Melainkan, bahawa sebelum al-Kisa’i menemuinya, Sibawaih sudah terlebih dahulu dihadapi oleh murid-murid al-Kisa’i. Di antara mereka adalah al-Ahmar. Hisyam, dan al-Fara. Kemudian mereka berdebat dengannya sebelum al-Kisa’i bertemu, kerana mereka melakukan hal yang demikian adalah untuk menjatuhkan syaukah (kekuatan mental) Sibawaih. Lalu tidak lama al-Kisa’i mengadap dan berdebat dengannya dalam masalah terkenal pada masa itu, yaitu masalah “Zumburiyah”.

Sibawaih menang di dalam perdebatan tersebut. Kemudian Yahya al-Barmaki memberi hadiah kepadanya sebesar sepuluh ribu dirham dari saku peribadinya. Maka dari mulai itulah Sibawaih menjadi orang yang terkenal. Kemudian tidak lama ia pindah ke kota Ahwaz dan wafat di sana. Menurut Riwayat lain mengatakan bahawa Sibawaih wafat di Syiraz, Iran. Dia wafat pada saat usianya yang muda. Nama Sibawaih berasal dari bahasa asli Persia yang berarti semangka yang harum.

Banyak kitab yang menulis tentang bibliografi Sibawaih, di antaranya kitab karya Ahmad Badawi, yaitu kitab Sibawaih: Hayatuhu wa Kitabuhu, dan penulis Ali an-Najedi Nashif, yaitu kitab Sibawaih Imam an-Nuhat. Antara karya agungnya adalah al-Kitab atau Kitab Sibawaih merupakan puncak tata bahasa Arab dibukukan melalui kitab karyanya itu. Mungkin dapat dikatakan bahawa, al-Kitab atau Kitab Sibawaih merupakan sebuah kitab referensi pertama (sumber rujukan pertama) yang menghimpunkan tata bahasa Arab secara lengkap.
MasyaAllah…. Ta’ajjub sungguh apabila merenung al-kisah tokoh nahwu ini, jauhnya ilmu dan hemah kita dari kalangan mereka. Bertapa besar kemulian Allah SWT telah melimpah kepada kalangan mereka bertapa beruntung apabila kita mengambil manfaat dan pendekatannya.

Sepertima kata Syeikh Saiyyidi Madi Abu A’zaim : “Lapangkanlah waktu kamu untuk mengigati akan jasa-jasa ulama’-ulama’ terdahulu”.

Mengenali para ulama’ adalah akan menambahkan kecintaan kita pada mereka. Maka dengan kecintaaan inilah yang kan menghidupkan hati-hati mukmin sejati. Kecintaan kepada mereka adalah berpautan dan saling bersangkutan dengan cinta kepada Rasulullah SAW. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah menjelaskan : “Ulama’ itu adalah pewaris nabi ”.

Mencintai warisan para Nabi a.s juga seumpama kita mengasihi mereka.
Imam Syafie Ra pernah menjelaskan :
“Aku mencintai orang-orang soleh dan bukan aku sebahagian daripada mereka, Aku berharap agar mendapat syafaat kerana mereka”.

“Ya Tuhanku…. jadikanlah segala perbuatan dan perkataan kami IKHLAS untuk menuntut keredhaanMU yang mulia dengan kehormatan Al-Quran Al-‘Azim. Nabi yang mulia. Sekelian sahabat dan hamba-hambaMU yang soleh.” (Doa Saiyid Ahmad Idris ).
“Ya Tuhanku… jadikan kami sebahagian orang yang mendapat ilmuMu yang luas... Kuatkan kami dalam meneruskan dan mendalaminya…. Sesungguhnya Hati ini senantiasa berbolak balik atas nikmatMu. “Wahai Tuhanku engkaulah tujuanku, keredhaa-Mulah tuntutanku, anugerahilahdaku kasih cinta padaMU dan sebenar-benar mengenaiMu, Ya Allah…. Ya Allah…. Ya Allah.

BICARA PENUNTUT BUAT PENUNTUT ILMU



BICARA PENUNTUT BUAT PENUNTUT ILMU

AYYUHAT TULLAAB
Aku mahu berbicara kepadamu.
Sebagaimana aku berbicara pada diriku.

Aku dan kamu adalah at-Tullab (penuntut ilmu), sosok diri bagaikan seorang yang merintih peluh menanam tanaman. Adakah berhasil menuai atau tidak. Berkeja keras mencari hasil dari tanaman. Menunggu hasil dari tuaian.

Merenung dan mengingat kembali nasihat guruku kepadaku, agar diingat senantiasa di dalam qalbu. Boleh bicara dengan ilmu, boleh suka tanpa jemu, mengingat kembali kisah yang lalu, agar menusuk di dalam qalbu.

Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja dan yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan terhangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti kehendak hawa nafsunya.Nafsu sentiasa mencintai perkara yang di larang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi serta sibuk di dalam urusan menuju kepada Allah.

Nasihat guruku kepadaku, “Hang nak mengaji ni biaq la (biaq daripada istilah loghat utara maksudnya biar) tanam ilmu tu bukan sehari dua aja, kita nak tanam ilmu tu biaq la tumbuh bertahun abadnya, ibaratnya kita tanam pokok durian, boleh hidup berpuluh tahun, jangan tanam pokok biasa aja, tak sampai berapa lama waktu dah mati”.

Ibarat pokok durian membuatkan aku memahami pelbagai gambaran daripada sudut percakapan : “Aku mengistilahkan sebuah pokok yang kuat dan kukuh kondisi akarnya, seperti kuatnya pegangan ia dengan TuhanNYA, (Iman). Apabila akarnya kukuh dan membesar, ini melambangkan sesepohon pokok itu lebat rimbunannya, (Syariahnya diamalkan). Apabila sesepohon pokok itu lebat rimbunannya, ia melambangkan akan membuahkan hasil dari pokoknya, (akhlak dan tawasuf) . maka ia memanfaat pada sekaliannya penduduk bumi daripada makan hasilan tersebut. Bila ditabur benih di lautan, maka menjadi pulau, bila di tabur ia di dataran menjadi gunung ganang.

Aku mahu berbicara padamu wahai at-Tullab,
Kian banyak kita lihat dan renung orang yang mengaji agama hanya sekadar lepas batuk ditangga, ilmu tu tidak memberi kesan padanya. Kerana tiada pengamalan terhadap ilmu. Biar sedikit mengaji asalkan, diamalkan. Biar lama mengaji asalkan istiqamah dan ikhlas.

Setengah aku melihat dan merenung, dari rakan sekuliahku, membuat aku binggung memikir berpanjangnya, kemana mereka mahu sebenarnya, sosok dirinya tidak membuat menunjukkan ia orang yang menuntut ilmu, sosok fahamnya tidak melambangkan ia memikirkan agama. Tetapi ia belajar agama dan menanggung lencana seorang pembawa agama, adakah ilmu itu hanya sekadar mengaji pergi kuliah dan keluar kuliah itu memadai dikatakan orang pembawa ilmu, Ilmu agama itu ia meletakakn di sesuatu tempat, apabila keluar dari tempat itu, sudah tiada ilmu agamanya.

Terbaca aku akan ungkapan Syair Ahmad Syauqi (dengan julukkan amir syu’ara) ia seorang penyair yang lahir dan wafat di kairo, Mesir. Di antara Ungkapannya:

فَاطْلُبُوْا الْعِلْمِ لِذَاتِ الْعِلْمِ لاَ * لِشَهَادَاتٍ وَأَرَابُ أُخَرَ
“Carilah ilmu untuk ilmu itu sendiri, bukan untuk memperoleh ijazah dan tujuan-tujuan lain”

Perbicaraan pendek aku ini hanya sekadar mengigatkan diriku sendiri, seseorang yang mengenal akan tuhanNya, maka ia akan mengenal dirinya , perjalanan kita sungguh jauh, masih buta dan rabun jalan lagi, perlu di pimpin oleh murabbi serta ulama yang benar, dalam menuju ke dentinasi. Bersabarlah dan mohonlah bersama agar diberi petunjuk dan kebenaran yang hakiki.

“Ya Tuhanku… jadikan kami sebahagian orang yang mendapat ilmuMu yang luas... Kuatkan kami dalam meneruskan dan mendalaminya (amalkannya)…. Sesungguhnya Hati ini senantiasa berbolak balik atas nikmatMu. “Wahai Tuhanku engkaulah tujuanku, keredhaa-Mulah tuntutanku, anugerahilahdaku kasih cinta padaMU dan sebenar-benar mengenaiMu, Ya Allah…. Ya Allah…. Ya Allah.

Selasa, 28 April 2009

Salasilah (Geneologi) Kitab Fiqh Mazhab Syafi’i.

Salasilah (Geneologi) Kitab Fiqh Mazhab Syafi’i.


Kepentingan hasil dari karya-karya Kitab Fiqh yang mempunyai kesenambungan mahupun rangkaian jalur salasilah kitab-kitab yang merupakan salah satu perkembangan Fiqh. Banyak karya besar Fiqh Syafi’iyyah yang popular dan Mashyur masih tetap utuh diajar dan dipelajari dari kalangan ahli madrasah, pondok ataupun pasentren di Asia Tenggara. Hal demikian, ia dilakukan adalah penulisan yang berbentuk komentar (al-Syarah) (iaitu keterangan, huraian, penjelasan, atau ulasan) terhadap matan (al-Matan) (naskah asli, teks), atau cacatan atas dasar komentar (huraian yang mengandungi penjelasan, kritikan, atau pendapat mengenai sesuatu perkara), yang dinamakan ia (Hasyiyah). Atau dilakukan sebaliknya, yakni disusun ringkasan (al-Mukhtashar) dari suatu karya yang lain dari tradisi ulama’ dalam perkembangan fiqh berbentuk lingkungan mazhab. Demikian terdapat beberapa “Salasilah” Kitab Fiqh Syafi’iyyah, dan hubungan antara anggota “Salasilah” ini dapat digambarkan penulis dalam sebuah gambar rajah yang akan disusulkan kemudian. Tiga yang menonjol, secara berturut-turut “berasal” dari Muharrar karangan Imam Rafi’i, Taqrib atau (Mukhtashar) oleh Imam Abu Syuja’ al-Isfahani, dan Qurrah al-‘Ain karangan Imam Zainuddin al-Malibari.

Penjelasan yang pertama akan diulaskan oleh penulis diantara salasilah-salasilah tersebut adalah dari kelompok kitab yang memiliki hasil kecenderungan yang besar dari kalangan penuntut ilmu didalam mempelajari Fiqh Mazhab Syafi’i. Melalui hasil penelitian, salasilah yang dimaksudkan penulis adalah jalur salasilah Matan Al-Ghayah wa al-Taqrib (متن الغاية والتقريب), yang juga terkenal dengan Mukhtashar, oleh Abu Syuja’ al-Isfahani . Diantara syarah Taqrib adalah Fath al-Qarib (oleh Ibn Qasim Al-Ghazzi) , Kifayat al-Akhyar, (oleh Taqiyad-Din al-Dimasyqi), dan syarah kitab yang ketiga daripada Taqrib adalah al-Iqna’ karangan (Syeikh Khathib Syarbini). Salasilah yang dipaparkan penulis bukanlah hanya itu ketetapan salasilah kitab Fiqh Mazhab Syafi’i daripada jalur salasilah Matan Al-Ghayah wa al-Taqrib, malah kemungkinan ada pekembangan daripada salasilah tersebut yang belum diketahui oleh penulis. Demikian itu, penulis hanya memaparkan sebagai gambaran salasilah kitab sahaja daripada salasilah Matan Al-Ghayah wa al-Taqrib bukan merangkumi keseluruhan kesempurnaan salasilahnya.

Seterusnya penulis cuba ingin menukilkan serba sedikit perkongsian bersama mengenai perbahasan kitab Fath al-Qarib menurut Syeikh Ibn Qasim al-Ghazzi daripada muqadimah kitab syarahnya, yang menerangkan secara ringkas mengenai tujuan disyarahkan daripada kitab Taqrib adalah sebagai berikut :

وبعد : هذا كتاب في غاية الإختصار والتهذيب، وضعته على الكتاب المسمى بالتقريب لينتفع به المحتاج من المبتدين لفروع الشريعة والدين، وليكون وسيلة لنجاتي يوم الدين، ونفعًا لعبادة المسلمين، إنه سميع دعاء عبادة وقريب مجيب. ومن قصده لا يخيب. وإذا سألك عبادي عني فإني قريب.

“Dan selepas itu, ini adalah kitab pada sehabis-habis ringkas dan murni, yang aku letakkan ia keatas kitab yang dinamakan dengan “Taqriib” supaya mengambil manfaat dengannya orang-orang yang berhajat daripada orang yang baru mula belajar, kepada cabang-cabang syariat dan agama dan supaya jadilah ia wasilah bagi kejayaanku pada hari Agama, dan untuk manfaat hamba-hambaNya yang Islam. Sungguhnya Dia maha mendengar doa hambaNya dan amat hampir lagi amat memperkenan. Barangsiapa yang menuju kepadaNya tidak kehampaan. Dan apabila bertanya kepada kamu oleh hamba-hambaku maka sunggunya Aku ini amat hampir”.

Maka pengarang kitab Fath al-Qarib melanjutkan muqadimahnya daripada perbezaan nama naskah kitab seperti berikut:
وإعلم أنه يوجب في بعد نسخ هذا الكتاب في غير خطبته نسميته تارة بالتقريب ، وتارة بغاية الإختصار. فلذلك سميته باسمين. أحدهما : فتح القريب المجيب في شرح ألفاظ التقريب. والثاني : القول المختار في شرح غاية الإختصار.

“Ketahuilah, bahawa didapati pada sebahagaian naskah kitab ini pada selain khutbahnya penamaannya sekali dengan “التقريب” sekali yang lain dengan
“غاية الإختصار”. Maka kerana demikian itu aku namakan ia dengan dua nama, satu daripadanya “فتح القريب المجيب في شرح ألفاظ التقريب ”. (pembukaan yang mudah pada mensyarahkan lafaz-lafaz Taqrib). Keduanya “القول المختار في شرح غاية الإختصار ” (Pendapat yang terpilih pada mensyarahkan غاية الإختصار.)

Gambar rajah : Geneologi (Salasilah) Kitab Fiqh Syafi’i

Sabtu, 21 Maret 2009

Tuan Haji Hussain Kedah...(1863-1935)


Abu Abdullah Hussin bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilahirkan pada hari Ahad 20 Jumadil Awwal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.

Keturunan Tuan Hussin Kedah adalah berasal dari Kelompoyan Martapura Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Dan beliau adalah dari keturunan seorang ulama yang sangat tersohor di Nusantara iaitu Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pengarang kitab Sabil al-Muhtadin. Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah adalah apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah.

Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.


Pendidikan dan Membuka Pondok

Tuan Hussin Kedah mendapat didikan awal dari datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah. (Insyaallah, tulisan mengenai tokoh ini akan paparkan keblog ini nanti). Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di di Pondok Bendang Daya, Fathani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu. Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah lama di perantauan mencari ilmu, beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya mengajar.

Memang sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut, tidak lengkap ilmu seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, yang merupakan pusat ilmu ketika itu. Maka pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Umar Sumbawa, Syaikh Ahmad Umar Bali, Syaikh Ahmad Lingga, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan ramai lagi.

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun.

Pada tahun 1900, beliau berpindah Bohor dan membuka pondoknya di sana. pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussin mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan "Tuan Hussain Bohor".

Pada tahun 1912, Tuan Hussin berpindah pula ke Bagan Ulu dan membuka pondok di situ. Tempat ini sekarang dikenali sebagai Pantai Merdeka. Pelajar-pelajarnya berjumlah lebih 400 orang. Antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah Dato' Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (gambar sebelah). Tuan Hussin mentadbir pondok Bagan Ulu selama 8 tahun sebelum membuka pondok baru di Selengkoh, Mukim Sungai Limau. Keadaan persekitaran di Selengkoh yang becak mengurangkan penuntut Tuan Hussin. Beliau berkhidmat di sana selama 4 tahun dan kemudiannya berangkat mengerjakan fardhu haji bersama anak dan cucu-cucunya.

Kepulangannya dari Mekah pada tahun 1924M telah memberi ilham kepada Tuan Hussin untuk membuka pondok baru pula di Padang Lumat. Dan seterusnya beliau membuka pondok di Pokok Sena, Seberang Perai pada akhir tahun 1929M. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Sering membawa tongkat ketika berjalan Beliau bertariqat Syattariah. Beliau adalah seorang tuan guru pondok yang tegas. Pelajarnya tidak dibenarkan merokok dan berambut panjang. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam kesibukan mengajar, beliau masih sempat untuk menulis kitab untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Antara kitab-kitab tulisannya adalah:-
• an-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305H/1888M. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kitab ini adalah kitab pertama yang beliau karang.
• Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318H. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346H, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
• Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fekah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
• Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336H. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356H/April 1937M.
• Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336H. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
• Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927M. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377H/1957M.
• Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341H. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad Õáì Çááå Úáíå æÓáã Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Acheh Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382H/1962M.
• Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343H. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350H Dicatatkan: “Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30”.
• Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344H. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
• ‘Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345H. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
• Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346H. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fekah. Dicetak oleh Mathba'ah az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347H (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355H (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadhi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jumadilawwal 1393H
• Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347H. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
• Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jumadilawwal 1348H. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Acheh Street, Pulau Pinang.
• Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, disele- saikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350H. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360H.
• Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jumadilakhir 1352H (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jumadilakhir 1360H.
• Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
• Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
• Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Sya’ban 1354H. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan: “Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi al-Madrasah al-Khairiyah al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.”
• Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pentadbiran pemerintahan.
• Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qadha atau mengganti sembahyang yang ketinggalan. Kitab ini merupakan kitab terakhir yang beliau tulis

Meninggal Dunia

Menurut catatan dari kelaurganya ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah. Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang.

Demikianlah sekelumit kisah ulama seorang ulama tersohor dan berjasa. Peranannya dalam pendidikan, dakwah dan penulisan dalam seharusnya menjadi contoh kepada generasi ulama sekarang. Akhirkata, marilah kita hadiahkan al-Fatihah pada ulama besar ini. al-Fatihah.


Rujukan:
Tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah didalam kolum Ulama Nusantara, akhbar Utusan Malaysia 29 Jumadilakhir 1425H / 6 Ogos 2004
Buku Tokoh-tokoh Ulama Semenajung Tanah Melayu -1
Buku Sejarah Ulama Kedah
Portal MyKedah.
Laman Web Madrasah al-Khairiah al-Islamiah


Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani

Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani

H
aji Osman bin Muhammad
atau juga dikenali dengan Sheikh Osman Jalaluddin Al-Kalantani atau Haji Seman Sering berasal dari Kelantan dan merupakan salah seorang guru pondok dan ulamak tersohor di Semenanjung Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Nama beliau bukan sahaja terkenal di Kelantan dan Pulau Pinang malah hingga ke Mekah. Beliau hidup sezaman dengan Tok Seridik, Haji Ismail Pontianak, Haji Omar Banggol Kulim , Dato' Perdana Haji Mat Jebeng.


SEJARAH HIDUP

Beliau telah dilahirkan di Kampung Panjang, Sering di sempadan Jajahan Kota Bharu/ Bachok pada penghujung tahun 129 H (1880 M) dan telah meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pada hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan 19 September, 1952.

Pada peringkat awal, beliau lebih dikenali dengan panggilan Haji Seman Sering, dan termasuk dalam kumpulan murid kesayangan Tok Kenali. Selain daripada Tok Kenali, beliau juga pernah berguru dengan Haji Jamaluddin Perupok dan Haji Abdul Malek Sungai Pinang. Semasa di Mekah, beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar Bogor (atau nama sebenar beliau Syeikh Mohd Mukhtar bin Atarid).

SUMBANGAN

Nama beliau mula terkenal selepas kejayaan beliau mendirikan Madrasah Manabi al-Ulum di Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada tahun 1932. Madrasah ini kemudiannya muncul sebagai sebuah pusat pengajian pondok yang paling maju di Seberang Perai semasa tahun 1930-an hingga 1940-an.

Sebagai guru yang berdedikasi, beliau banyak menghasilkan karya-karya sendiri dan terjemahan. Syeikh Osman sangat berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu karangan serta memilih topik yang mempunyai kaitan dengan persoalan semasa masyarakat. Kitab Durrat al Nafi'ah (Alamat Kiamat) hasil karangannya telah meletakkan beliau sebagai seorang sasterawan yang berpandangan jauh kerana ia dianggap sebagai buku berbahasa Melayu yang paling terperinci dalam membincangkan perkara-perkara berkaitan tanda-tanda hampir kiamat.

Syeikh Osman kerap berulang alik ke Mekah dan telah diberi kepercayaan untuk mengajar di Masjidil Haram. Bermula dari sinilah beliau mendapat anak murid seperti Haji Abdul Rahman Sungai Durian, Haji Abdul Rahman Lubok Tapah, Haji Abdullah Lati, Haji Abdullah Kg. Laut, Haji Hassan Ketereh, Haji Abu Bakar Bukit Tiu, Haji Mohd Ibrahim Akibi Pulau Pinang, Haji Ismail Merbok, Haji Hussein Umbai, Haji Abdul Ghani Kubang Bembandan dan Ustaz Abdul Kadir Kamaluddin.


Sheikh Abdullah Fahim

Sheikh Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Sheikh Abdullah Fahim merupakan ulama terkenal Tanah Melayu dan mufti pertama Pulau Pinang yang berkhidmat dari 1951 - 1961. Beliau dilahirkan di Kampung Syib ‘Ali, Makkah pada tahun 1286H dan dibesarkan di sana dalam suasana ilmu keagamaan. Beliau berdamping dan berguru dengan ramai ulama, menurut riwayatnya guru beliau di Makkah dan Madinah tidak kurang 42 orang.

D
i antara guru-gurunya ialah:-
Sheikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
Sheikh Muhammad Sa`id BabShil;
Sheikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani;
Sheikh Wan ‘Ali Kutan al-Kalantani; dan
Sheikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.


Sheikh Abdullah Fahim selain alim dalam ilmu-ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf, juga mendalami ilmu falak. Keahliannya dalam ilmu falak menyebabkan nasihatnya diminta mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan cadangannya untuk tarikh tersebut diterima. Jangan pula disalah anggap bahawa ilmu falak Sheikh Abdullah Fahim tu serupa dengan ramalan Tok Sami dan Tok Cha. Kalau nak tahu berkenaan ilmu falak kenalah belajar dengan ahlinya, cuma kena ingat bahawa falak ulama itu bukan setakat melihat anak bulan sahaja. Mudah-mudahan titihan zuriat beliau yang akhirnya menjadi Perdana Menteri ke-5 Malaysia dapat memartabatkan lagi Islam di persada dunia umumnya dan Nusantara khususnya.

Wasiat Sheikh Abdullah Fahim I


Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Sheikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku “Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2)” dipetik antara pesanan beliau:-
Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-’Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.

Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.



Wasiat Sheikh Abdullah Fahim II

Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala alihi wa ashabihi. (Amma ba’d), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).

Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.

U
suluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.

Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul ‘Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.
Template by : kendhin x-template.blogspot.com